Web Berasaskan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja
Dasar Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan adalah menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua pekerjanya dan orang-orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti-aktivitinya. Pihak pengurusan dan pekerja akan turut sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat dan objektif-objektif dasar ini melalui rundingan dan kerjasama.
Dasar Jabatan secara khusus dapat diperjelaskan seperti berikut:
- Untuk menyedia dan menyenggarakan suatu tempat dan sistem kerja yang selamat dan sihat;
- Untuk memastikan bahawa semua kakitangan diberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan berkenaan cara untuk menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan;
- Untuk menyiasat semua kemalangan, penyakit, keracunan dan kejadian berbahaya dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kejadian-kejadian tersebut tidak berulang lagi;
- Untuk mematuhi kehendak-kehendak perundangan dan lain-lain keperluan mengenai keselamatan dan kesihatan seperti yang ditetapkan di dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, peraturan-peraturannya dan tataamalan yang diluluskan;
- Untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kebajikan bagi semua pekerja; dan
- Untuk mengkaji semula dasar ini apabila perlu.
Berdasarkan pernyataan yang diperolehi daripada Laman Web Rasmi Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia menerangkan dimana Jabatan yakin bahawa faktor keselamatan dan kesihatan yang dipertingkatkan secara berterusan mestilah diintegrasikan ke dalam aktiviti-aktiviti harian kita dan pengaplikasian cara kerja selamat dan sihat adalah faktor utama ke arah memastikan kejayaan misi kita. Kesedaran yang tinggi diperlukan daripada semua pihak bagi menerapkan kepentingan keselamatan dan kesihatan di dalam industri. Kepekaan daripada pihak organisasi terhadap setiap isu berkaitan dengan OSHA amat diperlukan kerana ia akan mewujudkan keyakinan dikalangan setiap pekerja dalam organisasi. Keyakinan untuk bekerja akan wujud dengan sendirinya daripada didalam semua pihak didalam organisasi. Ia merupakan faktor penting bagi setiap individu didalam organisasi dalam melaksanakan kerja dengan lebih teratur, berkesan dan selamat.
NUSAJAYA – Jumlah kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja mencatatkan angka yang serius walaupun jumlah kemalangan di tempat kerja di negara ini berjaya dikurangkan sejak 10 tahun yang lalu. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, pada tahun 2010, kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja direkodkan sebanyak 21,909 kes atau 30 peratus daripada 57,656 kes kemalangan industri yang dilaporkan. Ini menunjukkan peningkatan berbanding 20,810 kes kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja yang dilaporkan pada 2009. ”Ini adalah di luar kawalan pihak majikan, pekerja itu sendiri kena mengambil langkah keselamatan sendiri, khususnya mereka ketika pergi dan balik ke tempat kerja dan kemalangan membabitkan penunggang motosikal,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2011 di tapak pembinaan Kolej Marlborough di sini, semalam. Subramaniam berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Keselamatan dan Pekerjaan Negara (NIOSH), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain agensi telah merancang banyak program kesedaran program ‘Safe Riding’ untuk pekerja yang menunggang motosikal. Kemalangan tersebut yang selalunya melibatkan kehilangan nyawa atau hilang keupayaan kekal menyebabkan kerugian modal insan, kerugian ekonomi kepada negara dan juga keluarga. Menurut statistik yang dikeluarkan Perkeso, 81,810 kes kemalangan industri dilaporkan pada 2002 di mana 63,423 kes melibatkan kemalangan di tempat kerja manakala 18,387 kes melibatkan kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja. Ia menunjukkan penurunan jumlah kemalangan di tempat kerja tetapi kemalangan pekerja pergi balik ke tempat kerja menunjukkan trend yang meningkat. Perkeso telah membayar RM1.549 bilion pampasan mangsa kemalangan industri pada 2010 berbanding RM1.354 bilion yang dibayar pada tahun sebelum itu. Peningkatan jumlah pampasan itu menurut beliau adalah disebabkan faktor kenaikan gaji para pekerja di mana semakin tinggi gaji pekerja semakin besar pampasan yang akan dibayar Perkeso. ( Sumber Akhbar SINAR HARIAN: NASIONAL, bertarikh 29 April 2011 :Lebih 21, 000 kes kemalangan pergi, balik tempat kerja ).
Pihak majikan dan pekerja haruslah bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Perkara ini bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan setiap individu di dalam setiap organisasi akan lebih terjamin. Selain daripada itu, aku juga berpendapat dengan mewujudkan badan yang mengawal dan memantau aktiviti OSHA, ini akan menghasilkan kesan positif ke arah keselamatan dan kesihatan organisasi. Dengan wujudnya kesan positif terbabit maka setiap isu dan permasalahan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja mampu dibendung dan dikurangkan kepada sifar. Aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu diamalkan di dalam setiap jenis organisasi tidak kira sama ada industri kecil ataupun besar. Kerjasama dan kesedaran yang tinggi daripada semua pihak terumasuk pihak majikan ataupun pihak atasan perlu diberikan latihan pendedahan yang berkaitan dengan topik ini. Sedikit sebanyak ia akan menimbulkan kesedaran kepada semua pihak bagi menangani hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara lebih komprehentif demi pembentukan budaya kerja yang selamat dan sihat.
Menurut Dr. Zakir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohammad Hasun, terdapat 5 Faktor yang dikenalpasti bagi kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia berkaitan dengan Pengurangan Kos, Motivasi Pekerja, Mengelakkan Tuntutan, Menjalankan Tanggungjawab Sosial dan Menjaga Imej Organisasi.
Faktor Pertama bertujuan mengurangkan kos yang merupakan perkara utama mengapa keselamatan dan kesihatan pekerja menjadi isu penting masa kini. Walaupun Organisasi ditempat aku kerja sekarang sememangnya membiayai kos perubatan kesihatan setiap pekerja termasuklah juga ahli keluarga, akan tetapi pihak atasan sering kali menyuarakan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh organisasi berdasarkan kos pembiayaan perubatan pekerja yang tinggi pada setiap masa. Sebaik-baiknya setiap pekerja perlulah bersama-sama membantu bagi mengurangkan kos perubatan yang tinggi dimana ditanggung majikan dengan menjaga kesihatan sendiri dengan lebih baik. Disamping itu juga pihak majikan telah menyediakan beberapa klinik terpilih sebagai klinik panel berdaftar yang membenarkan pekerja mendapat rawatan secara lebih teratur dan mudah.
Faktor Ke-2 pula adalah mengelak tuntutan. Ia bermaksud tindakan oleh pihak berkuasa mengenakan denda atau tindakan ke atas organisasi yang mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan para pekerja. Faktor mengelakan tuntutan berkaitan dengan pematuhan organisasi terhadap akta OSHA 1994.Hal ini bermakna setiap organisasi harus menyediakan persekitan kerja yang lebih selesa dan memberi kesedaran kepada semua pekerja tentang kepentingan fungsi OSHA dalam setiap organisasi. Walaupun organisasi cuba mengelakkan tuntutan, namun organisasi tersebut haruslah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam OSHA. Dengan ini organisasi terbabit mampu untuk menghalang dan mengelakkan tuntutan daripada pihak-pihak lain.
Faktor Ke-3 adalah berkaitan dengan motivasi pekerja, apabila organisasi menekankan aspek keselamatan dan kesihatan dimana menjadikan keselesaan persekitaran tempat kerja dapat ditingkatkan serta dapat mendorong pekerja untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan baik. Setiap pekerja akan memberikan sepenuh komitmen kepada organisasi apabila mereka berasa selamat dalam melakukan kerja. Apabila organisasi dapat menyediakan persekitaran kerja yang selesa dan bersesuaian dengan kerja yang dilakukan, semestinya ia mampu meningkatkan motivasi bagi mencapai objektif dan sasaran organisasi.
Faktor Ke-4 adalah berkaitan dengan tanggungjawab sosial. Peningkatan aspek keselamatan dan kesihatan juga merupakan usaha organisasi ke arah melaksanakan tanggungjawab sosial. Setiap orgnisasi perlu selarikan usaha bagi mengaut keuntungan sama dengan menjaga atau menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan semua pekerjanya. Setiap pekerja akan lebih bersemangat dan berasa selamat untuk bekerja kerana organisasi bukan sahaja mengajikan mereka sebagai pekerjan sahaja namun juga menjaga kepentingan terhadap keselamatan dan kesihatan.
Faktor terakhir iaitu yang ke-5 adalah berkaitan dengan imej organisasi, di mana imej organisasi juga akan dapat ditingkatkan berdasarkan usaha organisasi ke arah meningkatkan keselamatan dan kesihatan dalam organisasi. Setiap organisasi dapat menjaga imej mereka bagi menggambarkan kesan positif untuk diketahui umum. Setiap organisasi yang mempunyai imej positif akan memudahkan organisasi tersebut mendapat perhatian dalam mencari pekerja disamping kelebihan-kelebihan lain.
Setiap organisasi di Malaysia perlu mengambil berat tentang aspek keselamatan dan kesihatan dalam menjalankan urusan mereka. Keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebenarnya merupakan satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan jika diamalkan dengan sempurna oleh organisasi. Apabila berlaku kemalangan atau kecelakan yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian, ianya lebih merugikan serta memberikan kesan negatif kepada organisasi. Realiti ini juga disokong dengan statistik berkaitan dengan kemalangan perusahaan yang membimbangkan dan melibatkan sejumlah besar pampansan.
Sesebuah organisasi itu pasti dapat mengurangkan jumlah pampasan dan kos sampingan jika setiap organisasi mampu menyediakan persekitaran kerja yang lebih sempurna dan teratur. Menjaga kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerja kepadaku juga bermakna setiap organisasi itu menjaga periuk nasinya di mana kita ketahui bahawa semua pekerja mahukan keadaan kerja yang selamat, selesa dan terkawal. Ini kerana kebanyakan masa individu dewasa dihabiskan di tempat kerja itu sendiri. Berdasarkan penyatan di atas adalah menjadi kewajipan untuk semua organisasi di Malaysia untuk mwujudkan persekitaran kerja yang selamat serta menyedari akan wujudnya undang-undang dan badan berkanun yang memantau keselamatan dan kesihatan setiap pekerja-pekerja di Malaysia.
Rujukan :
- www.miros.gov.my
- www.mohr.gov.my
- eprints.nottingham.ac.uk
- http://www.dosh.gov.my/doshv2/
- eprints.uthm.edu.my
- www.dosh.gov.my
- www.unevoc.unesco.org
- dspace.unimap.edu.my
- Dr. Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohd Hasun, 2008.Prinsip Pengurusan Sumber Manusia. Selangor.Leeds Publications.
- Maimunah Aminuddin, Penterjemah Dr.Fauziah Noordin, 2003. Asas Pengurusan Sumber Manusai. Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd.
- Faridahwati Mohd.Shamsuddin, Md. Lazim Mohd. Zin, Zuraida Hassan, Hadziroh Ibrahim, Chandrakantan Subramaniam,Ghazali Din,Mohamad Ismail Wasli dan Edora Ismail,2006.Pengurusan Sumber Manusia Di Malaysia.Malayia.Mc Graw Hill.
No comments:
Post a Comment