Wednesday, 1 October 2014

Masalah Aircond Kereta dan punca-puncanya..



Baru-baru ini aku repair Pendingin Hawa (Aircond) kereta. Banyak perkara yang aku belajar daripadanya. Jadi, alang-alang dah tahu, elok aku kongsikan di sini. Tapi sebelum itu, kita fahamkan dulu sistem pendingin hawa untuk kereta.

Sistem Pendingin Hawa (Aircond) Kereta

Konsep asasnya adalah sama seperti aircond di rumah, di pejabat dan juga peti sejuk. Sistem aircond kereta bukanlah sekompleks mana pun sebenarnya.





Sistem aircond sebenarnya bukan menyejukkan udara dengan menyemburkan gas aircond ke udara itu. Ianya adalah satu sistem tertutup, maknanya gas aircond itu kekal di dalam sistem paip. Kalau tidak bocor, gas aircond tidak akan habis. Apa yang sistem aircond lakukan ialah dengan 'memindahkan haba dari satu takungan ke takungan lain'.  Haba yang dipindahkan, bukan menyejukkan haba. Haba dari dalam kabin kereta dikeluarkan ke luar kereta.

Bagaimana ia dapat dilakukan? Penyebab utama ialah ciri-ciri yang ada pada gas aircond itu. Kalau dulu kita gunakan gas Freon (R10), lepas tu kita tukarkan kepada gas yang lebih 'eco-friendly' gas R12 dan sekarang untuk kereta kita gunakan gas R134a. Gas ini berbentuk gas pada suhu bilik tetapi apabila dimampatkan ia berbentuk cecair, sama seperti gas aerosol penyembur nyamuk atau gas memasak. Dalam keadaan termampat pada tekanan tinggi, gas itu berbentuk cecair.

Gas aircond dimampatkan oleh kompressor (yang menggunakan kuasa dari enjin kereta). Apabila termampat, hukum gas (PV =mRT) menyatakan, suhu akan bertambah. Jadi, gas aircond yang dimampat tadi mempunyai suhu yang melebihi suhu udara di luar. Apabila kipas aircond berpusing atau kereta bergerak laju, angin luar yang lebih sejuk akan menyejukkan gas aircond ini dan dalam masa yang sama gas akan bertukar menjadi cecair. Apakah yang berlaku? Sebenarnya tenaga haba dipindahkan dari gas aircond ke udara luar.

Apabila cecair aircond tadi melalui injap pengembang (expansion valve), cecair itu tadi akan tersembur dan di dalam gegelung penyejuk (evaporator / cooling coil). Cecair tu akan kembali bertukar kepada bentuk gas. Hasilnya, dengan prinsip yang sama (PV=mRT), gas itu menjadi lebih sejuk sama seperti apabila menyembur aerosol lama-lama, tin itu akan menjadi sejuk. Kenapa gas aircond itu menjadi sejuk? Kerana sedikit tenaga haba telah dikeluarkan tadi.

Seterusnya, gegelung penyejuk yang sejuk tadi ditiupkan pula oleh kipas angin di dalam kereta. Angin ini akan menyentuk dinding gegelung penyejuk menyebabkan angin itu menjadi lebih sejuk. Apa yang berlaku ialah haba dari angin dalam kereta itu dipindahkan ke gas aircond, sebab itulah angin itu jadi sejuk. Angin sejuk inilah yang ditiupkan ke dalam kereta dan kereta pun jadi sejuk.

 Oleh itu, boleh dikatakan bahawa haba dari dalam kereta dibawa ke luar.   


Masalah aircond kereta

Apa pun puncanya, satu perkara yang kita dapati ialah angin aircond tidak sejuk. Itulah masalahnya. Puncanya boleh terjadi bermacam-macam tetapi yang biasa terjadi ialah:

·         Gas aircond sudah habis akibat paip bocor. Kebocoran ini boleh berlaku di beberapa tempat lazimnya di persendian / pertemuan (joints) yang tidak ketat, sistem yamg bocor akibat tebuk atau karat. Sebenarnya, gas aircond itu dicampurkan dengan sedikit cecair pelincir (lubricant) untuk memelihara kompresor. Jika sistem bocor, gas dan cecair pelincir ini akan keluar. Cecair ini penting, jika kurang, kompresor boleh 'jammed' dan rosak. Gas aircond berfungsi sebagai 'pembawa haba' dari dalam kereta ke luar. Jika gas aircond tiada atau kurang, haba tidak dapat dipindahkan. Jadi, angin aircond akan tetap panas.

·         Gegelung penyejuk (cooling coil) sudah kotor. Haba dari angin di dalam kabin kereta dipindahkan apabila angin itu menyentuh permukaan logam pada gegelung penyejuk. Jika gegelung penyejuk itu kotor dengan habuk yang melekat akibat kondensasi air di situ, perpindahan haba tadi tidak efisien. Jadi, angin aircond tidak sesejuk mana.

·         Kipas di kondenser (di ruang enjin) tidak berfungsi baik atau tidak berpusing. Jadi, tiada bantuan angin untuk menyejukkan gas / cecair aircond yang panas itu. Kecualilah kereta itu dipandu laju kerana ada angin masuk ke ruang enjin untuk membantu menyejukkannya. Jika gas/cecair aircond tidak disejukkan (haba tidak dikeluarkan dari dalam sistem), sistem tidak dapat berfungsi dengan baik juga.

·         Kompresor rosak. Banyak sebab kompresor boleh rosak. Lazimnya kerana 'jammed' pada galas (bearing) dan piston (kalau jenis piston) atau bilah kompresor. Kalau piston atau bilah kompresor 'jammed' biasanya disebabkan cecair pelincir telah habis akibat bocor. Fungsi kompresor ialah untuk memampatkan gas kepada bentuk cecair dan dengan itu suhu gas itu akan bertambah melebihi daripada suhu di luar (ambient) supaya nanti angin di luar dapat 'membuang' haba itu. Jika gas itu tidak termampat dan suhunya tidak naik melebihi suhu angin di luar, haba di dalam gas itu tidak dapat dipindahkan. Selain daripada itu, injap pengembang (expansion valve) juga tidak berfungsi dengan baik untuk menyembur. Jadi, angin aircond di dalam kabin tetap tidak sejuk.

·         Alat kawal suhu (butang aircond di dashboard) telah rosak. Jika telah rosak, tiada input untuk sistem bekerja.

·         Sensor suhu telah rosak. Tugas sensor suhu ini ialah untuk mengetahui sama ada kesejukkan yang diingini telah dicapai atau belum. Maklumat ini akan diberikan kepada sistem kluc kompresor untuk on atau off.

·         Alat penapis (filter drier) telah kotor atau tersumbat. Ini akan mengganggu aliran cecair aircond seterusnya menganggu tugas sistem.

·         Injap pengembang (expansion valve) rosak atau tersumbat. Ia boleh berlaku jika ada bendasing (foreign material) dalam sistem paip. Injap ini mempunyai lubang yang kecil, seperti muncung aerosol itu. Jika tersumbat, cecair tidak disembur menjadi gas dengan sempurna dan akan mengganggu perpindahan haba.

Walaubagaimana pun, kerosakkan itu mungkin terdiri daripada gabungan beberapa punca dia atas atau punca yang lain daripada di atas.

Bagaimana mahu mengesan sistem telah rosak?

Sistem telah rosak jika angin di dalam kabin sudah tidak sejuk. Tapi ada symptoms tertentu untuk mengagak bahagian mana yang rosak.

·         Angin tidak sejuk dan angin yang keluar dari air-vent tidak kuat - gegelung penyejuk telah kotor atau tersumbat, kipas angin telah rosak. Jika kipas berpusing laju tetapi tiada angin dan berbunyi kuat, sesuatu telah menghalang saluran ventilasi (aircond duct). Mungkin juga 'flapper' telah patah atau jatuh.

·         Angin tidak sejuk dan kompresor asyik 'on' atau 'engaged' tanpa henti sedangkan kita pasang aircond pada tahap sederhana atau kurang - berlaku kekurangan gas aircond menyebabkan kompresor bekerja lebih untuk mencapai suhu yang diperlukan. Mungkin berlaku kebocoran.

·         Angin tidak sejuk dan kompresor sekejap 'on' sekejap 'off' berkali-kali - sistem kompresor itu ada 'pressure sensor', jika tekanan di dalam paip telah cukup, kompresor akan berhenti. Jika kompresor itu 'on' dan 'off' berkali-kali, ini bermakna sistem aliran gas/cecair aircond telah tersumbat di mana-mana, biasanya pada 'expansion valve'.

·         Angin tidak sejuk bila kereta berhenti tetapi sejuk sikit bila kereta bergerak - kipas kondensor (di ruang enjin) tidak berfungsi dengan baik untuk menyejukkan cecair aircond. Kebocoran gas aircond pun mungkin puncanya.

·         Enjin kereta terhenti apabila aircond dihidupkan - kompresor telah 'jammed'.

·         Tiada kedengaran kompressor berpusing walau setelah dihidupkan aircond - sama ada tombol suis aircond telah rosak atau talisawat kompressor (aircond belting) telah putus.


Komponen mana yang mahal?

·         Pertama-tama sekali, kompressor. Sila jaga isipadu gas aircond dan minyak pelincirnya.

·         Evaporator (cooling coil) dan kondenser.

·         Motor-fan untuk kondenser, injap pengembang (expansion valve)

·         Saluran paip dan gas aircond.

·         Komponen lain-lain.

Itulah sedikit sebanyak yang aku dapat tulis dan kongsikan.

No comments:

Post a Comment