BAB 1 :
PENGENALAN
Bola sepak di Malaysia selalu dianggap sebagai satu daripada aktiviti
sukan semata-mata yang dilakukan untuk menyihatkan badan. Sementara penglibatan
Malaysia dalam pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa serta
perkembangannya di peringkat nasional mahupun negeri atau daerah adalah kerana
ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi elemen-elemen 'prestij' yang boleh
dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara anggota FIFA.
Di sinilah silapnya. Bola sepak tidak seharusnya dianggap demikian. Ia
bukannya semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada itu. Bolasepak
sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara dunia dalam banyak
pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti Piala Dunia dan Sukan
Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara negara-negara bagi
merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'. Oleh yang demikian, tidak hairanlah
apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan bola sepak seperti
Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali bermatian-matian berjuang dalam
banyak pertandingan antarabangsa.
Bola sepak juga boleh dilihat sebagai satu bentuk industri yang mampu
menjana bukan sahaja keuntungan dari segi nilai imej dan prestij, tetapi juga
nilai material dan ekonomi. Program bola sepak untuk satu jangka masa panjang
boleh menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber yang boleh 'dieksport'
untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia seperti Manchester
United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya
berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak profesional yang bertaburan di
benua Eropah dan Amerika Latin.
Selain daripada melatih bakat-bakat baru, pasukan bola sepak khasnya
yang berstatus kelab boleh menjana sumber ekonomi menerusi promosi dan
penjualan barang-barang merchandise
berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang
ramai. Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat
sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang
berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan untuk
memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat bermain
untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya profesional'
yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan bersungguh-sungguh,
'hasil lumayan' pasti menanti mereka. Demikianlah berbezanya persepsi sukan
bola sepak antara Malaysia dan negara-negara Barat.
Maka tidak hairanlah kenapa pasukan bola sepak mereka mampu menyaingi
dan menewaskan Malaysia walaupun terpaksa bermain dalam cuaca panas. Pun
begitu, masih belum terlewat bagi Malaysia mengorak langkah baru ke hadapan
bagi menghadapi persaingan bola sepak di peringkat serantau dan antarabangsa.
Malaysia perlu merangka satu strategi dan program jangka panjang untuk
membangunkan semula sukan bola sepak di negara ini. Pihak pengurusan bola sepak
di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu idea baru dalam konteks
pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua pasukan dalam Liga
Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab.
Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola
sepak negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri
masing-masing sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia.
Kelab-kelab bola sepak tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus
semua aktivitinya termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual merchandise untuk kelab, jualan tiket
dan mungkin juga memiliki stesen radio atau televisyen sendiri untuk manfaat
peminat dan penyokong.
Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan contoh. Apabila
liga-liga bola sepak di Jepun dan Korea Selatan dirombak secara menyeluruh, ia
menjadi sebuah liga bola sepak yang benar-benar profesional sebagaimana di
Barat. Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea Selatan ditukar kepada
nama-nama yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus Eight, Yokohama
Marinos, Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan bermacam-macam
lagi nama hebat.
Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian adalah aspek pengurusan bola
sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah tugas mengurus dan mentadbir
sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan tidak harus 'dipolitikkan'.
Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap 'turun padang' ke segenap
ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan mengenal pasti bakat-bakat baru
yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai 'bintang bola sepak negara'. Bola
sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata, ia lebih daripada itu. Bola sepak
adalah industri dan maruah negara.
No comments:
Post a Comment