Wednesday 17 December 2014

Modul Latihan Bola Sepak

BAB 3 : LATAR BELAKANG SUKAN BOLA SEPAK



3.1       SEJARAH DAN PERKEMBANGAN

Permainan yang mempunyai persamaan dan ciri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 S.M.  Pelbagai jenis permainan bola sepak telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah. Fakta telah menunjukkan bahawa permainan bola menggunakan kaki telah bermula sejak ratusan tahun yang lalu dan dipercayai lebih awal daripada sejarah permainan bola menggunakan tangan. Sejarah permainan bola menggunakan kaki bermula sejak kurun ke-2 dan ke-3 di China. Permainan ini bermula pada zaman pemerintahan Dinasti Han. Askar-askar mereka telah menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit sebagai latihan fizikal dan dikenali sebagai latihan ÂTsu ChuÊ.
Selain itu fakta juga telah menunjukkan permainan Greek, episkyros mempunyai persamaan dengan permainan daripada Rom. Permainan ini dimainkan oleh dua pasukan menggunakan bola kecil dan bermain di kawasan padang yang bersegi empat tepat dan ditandakan garisannya. Objektif permainan ini adalah untuk membawa bola melepasi sempadan pihak lawan. Permainan ini telah bertahan selama 700 hingga 800 tahun.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa atau FIFA adalah satu badan pentadbiran yang ditubuhkan untuk menguruskan bola sepak. Oleh sebab permainan bola sepak dimainkan dengan cara yang berbeza-beza di sekolah-sekolah di United Kingdom, undang-undang dan peraturan awal telah diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan dan memudahkan pemain-pemain memahami peraturan-peraturan tersebut. Pada tahun 1863, Persatuan Bola Sepak England telah ditubuhkan oleh beberapa kelab bola sepak. Mereka menggubal satu undang-undang bola sepak yang formal dan undang-undang ini dikembang menjadi Undang-Undang Bola Sepak yang diguna pakai sehingga kini.
Selepas beberapa tahun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ini telah menerima pasukan bola sepak dari Afrika Selatan pada tahun 1909/1910, Argentina dan Chile pada tahun 1912 serta Amerika Syarikat pada tahun 1913. Perancangan FIFA untuk mengadakan pertandingan pada peringkat antarabangsa telah ditangguhkan kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Pada 1 Mac 1921, Jules Rimet telah dilantik menjadi presiden ketiga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Beliau merancang untuk mengadakan kejohanan secara kecil-kecilan dan satu peraturan telah diluluskan pada tahun 1928.
Pemenang kejohanan akan dinobatkan sebagai juara dan akan diberikan trofi manakala seorang pengukir Perancis, Abel Lafleur telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta trofi yang pertama. Trofi ini dikenali sebagai Piala Jules Rimet. Kongres pertama yang berlangsung di Barcelona telah memilih Uruguay sebagai tuan rumah yang pertama pada 1 Mei 1929.
Buat pertama kalinya pada 18 Julai 1930, kejohanan pertama Piala Dunia dilangsungkan di Uruguay. Kejohanan ini diadakan di tiga gelanggang di Montevideo. Uruguay yang menjadi tuan rumah muncul sebagai juara selepas menewaskan Argentina 4-2 pada perlawanan akhir.
Piala Dunia telah terhenti apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun Julies Rimet telah berusaha keras sepanjang 33 tahun beliau memegang tugas sebagai Presiden. Impiannya menjadi kenyataan apabila FIFA telah terdiri daripada 85 negara dari seluruh dunia. Rimet yang dilantik Presiden
Kehormat Pertama FIFA telah meninggal dunia setahun kemudian dan digantikan oleh  Rodolphe William Seeldrayers pada tahun 1958. FIFA telah memutuskan kejohanan itu diadakan secara berselang-seli di benua Eropah dan Amerika Selatan. Operasi FIFA banyak dikawal selia oleh Ernst B. Thommen yang bertindak sebagai Penganjur Jawatankuasa Pertandingan bagi Piala Dunia 1954, 1958 dan 1962 sebelum Sir Stanley Rous dilantik sebagai Presiden FIFA ke enam. Antara sumbangan besar Rous ialah menambah keahlian baru dan menyiarkan kejohanan Piala Dunia secara meluas di seluruh dunia.
Bola sepak telah menjadi sebahagian daripada fenomena kehidupan dan merupakan sukan yang paling popular di dunia. Oleh sebab itu, permainan ini selalunya digelar sebagai Pilihan Kenangan Dunia Lalu.



Perkembangan Bola Sepak di Malaysia

Pada tahun 1926, satu Persatuan Bola Sepak ditubuhkan dan selepas itu secara rasminya menjadi persatuan bola sepak kebangsaan pada 1933. Persatuan ini juga dikenali sebagai Football Association of Malaya (FAM). Sir Andrew Caldecott dilantik menjadi Presiden FAM yang pertama pada tahun 1933 dan diikuti oleh M. Shelley, Dr J. Webster, S. Scott, R. Williamson dan Adrian Clark. Mereka menerajui persatuan ini sehingga tahun 1940 sebelum Peperangan Dunia Kedua meletus.

Selepas tamat perang, Presiden FAM ialah J. King, diikuti dengan H. Bryson dan Dr C. Rawson. Mereka berkhidmat selama 2 tahun setiap seorang sebelum tampuk pemerintahan FAM bebas daripada pengaruh pemerintahan kuasa British.

Pada tahun 1951 pula, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah dilantik sebagai Presiden FAM. Kemudian pucuk pimpinan FAM telah diambil alih oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak Haji Hussein. Pada tahun 1976, jawatan tersebut telah diisi oleh Tan Sri Datuk Seri Setia Raja Hamzah Haji Abu Samah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah merupakan tokoh yang banyak membantu dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air. Pada tahun 1989 Liga Semi-Pro diperkenalkan sebelum sukan ini diiktiraf sebagai sukan profesional beberapa tahun kemudian.

Di bawah kepimpinan Sultan Haji Ahmad Shah, perkembangan permainan bola sepak negara mendapat perhatian dari dalam dan luar negara sehinggalah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mengelolakan satu kejohanan berprestij iaitu Piala Remaja Dunia FIFA pada 1997. Daripada sebuah bangunan kecil di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur, FAM akhirnya mempunyai kompleks pentadbiran sendiri di Kelana Jaya, Selangor yang lengkap dengan pelbagai kemudahan latihan dan penginapan.


FAM memainkan peranan besar di dalam program pembangunan bola sepak negara dengan mengadakan kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Satu contoh yang baik adalah pengelolaan Pertandingan Liga Piala Menteri Pelajaran Malaysia Bawah 14 tahun dan Liga Remaja KPM/FAM Bawah 17 tahun yang telah dimulakan pada tahun 2008. Pertandingan ini melibatkan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri yang mewakili 14 buah negeri di Malaysia.

No comments:

Post a Comment